Antara Khayalan Dan kenyataan Dalam Hidup Menuju Kehidupan

Kamis, 24 September 2009

TANGISAN YANG MENGAKHIRI SEBUAH KEHIDUPAN

Tuan Zaidi, merupakan seorang ahli perniagaan melayu yang terkenal di Singapura. Sebut sahaja namanya semua kawan kawannya sudah tahu yang dia mempunyai empat orang isteri yang cantik cantik belaka.


Alasan yang diberikan apabila ditanya mengapa beliau beristeri sampai empat orang pasti jawapannya ialah dia mahukan zuriat namun malangnya sampai sekarang pun isteri isterinya masih tidak dapat menunaikan apa yang diidamkannya itu.


Tuan Zaidi seolah olah sudah berputus asa, memandangkan umurnya yang sudah pun menjangkau ke usia tujuh puluh tahun, tentunya dia memerlukan sekurang kurangnya seorang pewaris yang dapat mengendalikan perniagaannya itu.


Pagi itu seperti biasa Tuan Zaidi kepejabatnya menaiki kereta mewahnya, Rolls Royce yang dipandu oleh drivernya, Pak Mat meninggalkan perkarangan banglo mewahnya yang dua tingkat itu.


Tuan Zaidi tidak pasti kenapa sejak kebelakangan ini hatinya begitu sunyi sekali walaupun hidupnya mewah, berumah besar, berkereta besar, dikelilingi oleh empat orang isteri yang cantik tetapi kehidupannya menjadi begitu suram sekali.


“Tuan, boleh saya tanya kenapa Tuan nampak berlainan sekali pagi ini?’’ Pak Mat memulakan bicaranya setelah dilihatnya keadaan Tuan Zaidi yang agak murung pada pagi yang nyaman itu.


“Mat, saya kaya, ada banyak harta, ada ramai isteri, ada beberapa buah kereta dan rumah tapi sejak dah tua ni, saya rasa jiwa saya semakin kosong dan tak pernah tenang. Kenapa ya Mat? Kadang kadang saya rasa lebih baik hidup macam awak, walaupun miskin tapi amat bahagia sekali saya tengok.”


“Sebenarnya Tuan, kebahagiaan bukanlah terletak pada kemiskinan atau kekayaan tetapi sebaliknya ia terletak dalam diri kita sendiri Tuan.” Jawab Pak Mat ringkas. Tuan Zaidi mendengarkan sahaja jawapan Pak Mat itu tanpa sebarang reaksi, sebaliknya fikirannya terus melayang mengenangkan telatah dan kerenah keempat empat isterinya itu.


Tuan Zaidi tersangat sayangkan isteri keempatnya, Suzanna. Tuan Zaidi selalu menghiaskannya dengan pakaian yang serba mahal lagi ekslusif, serta menjamu seleranya dengan berbagai jenis makanan yang serba lazat. Dia terlalu mengambil berat terhadap isteri keempatnya itu dengan memberinya segala apa yang terbaik sahaja dan tidak pernah menolak segala kehendaknya.


Dengan isterinya yang ketiga pula, dia selalu bermegah megah dengan kecantikkan Maria maklumlah dikalangan isteri isterinya, Marialah yang paling cantik dan anggun. Tuan Zaidi sentiasa dengan bangganya memperkenalkan Maria kepada kawan-kawannya setiap kali mereka pergi ke majlis majlis formal. Tetapi disebalik kebanggaannya itu, dia sebenarnya amat takut akan kehilangan isteri ketiganya ini, yang menjadi buah hatinya, akan lari pula mengikuti lelaki lain yang lebih muda memandangkan umurnya yang semakin lanjut itu.


Isteri Tuan Zaidi yang kedua Latifah, juga amat di sayanginya. Isterinya yang ini seorang yang amat bertimbangrasa, sentiasa bersabar, bahkan dia juga bertindak sebagai penasihat peribadi Tuan Zaidi. Tatkala Tuan Zaidi menghadapi sebarang masalah dia selalu merujuk kepada isteri keduanya ini, dan isterinya pula akan sentiasa membantu Tuan Zaidi dalam sesuatu keadaan yang amat menekan jiwanya.


Fatimah, isteri pertamanya pula merupakan seorang isteri yang amat setia kepadanya, dan telah banyak memberi bantuan kepada Tuan Zaidi dalam menyelenggarakan harta kekayaan serta perniagaannya. Disamping itu, isteri pertamanya jugalah yang sibuk mengendalikan segala urusan rumahtangga Tuan Zaidi. Namun demikian, Tuan Zaidi tidak menyayangi isteri pertamanya itu, walau pun isterinya amat mengasihi dan menyayanginya, bahkan dia tidak pernah ambil peduli langsung terhadap kebajikan isteri pertamanya itu.


Tiba tiba lamunannya terhenti apabila drivernya memberhentikan kereta dihadapan pejabatnya. Seperti biasa drivernya akan membukakan pintu untuknya. Bila Tuan Zaidi hendak keluar sahaja dari keretanya tiba tiba dia terasa dadanya sakit, pandangan matanya menjadi kabur, keadaan sekelilingnya berpusing ligat. Dan dengan tidak semena mena sahaja Tuan Zaidi terjatuh lalu pengsan.....


Melihatkan keadaan tuannya yang sudah pengsan itu, Pak Mat dengan segera memanggil seorang pengawal keselamatan yang ada disitu, untuk membantunya mengangkat Tuan Zaidi masuk kedalam kereta. Tanpa membuang masa Pak Mat terus membawa Tuan Zaidi ke Hospital Besar Singapura. Tiba sahaja di hospital, tanpa membuang masa Pak Mat terus sahaja menelefon keempat empat isteri Tuan Zaidi, untuk memberitahu mereka tentang kejadian tersebut.


Tidak berapa lama kemudian keempat empat isterinya pun tiba di hospital, Fatimah, isteri pertama Tuan Zaidi terus meluru ke arah Pak Mat. ”Macamana boleh jadi begini Pak Mat?” “Setahu saya, tuan kamu tu tak ada apa apa penyakit.”


“Alah... kakak mana tahu. “Abang Zaidi tu memang selalu mengadu sakit dada bila tiba gilirannya kerumah Ifah,” isteri kedua Tuan Zaidi tiba tiba menyampuk. “Aa..ah. Betul Kak Imah. Kadang kadang tu, Abang Zaidi sampai jatuh pingsan. Mula mula dulu tak teruk sangat. Tapi sejak kebelakangan ini semakin teruk Maria tengok,” kata Maria pula seolah olah memberi sokongan kepada Latifah.


Setelah mendengar pengakuan dari kedua dua madunya itu, Fatimah tiba tiba merasa sedih, mengenangkan nasib dirinya, apa akan terjadi sekiranya suaminya yang dicintai itu meninggal dunia memandangkan dirinya yang hanya sebatang kara itu.




Suasana sunyi dan sepi menyelubungi perkarangan wad ICU Hospital Besar Singapura, dimana Tuan Zaidi ditempatkan. Pak Mat dan keempat empat isteri Tuan Zaidi kelihatan termangu, melayani perasaan masing masing.



“Siapa waris kepada Encik Zaidi bin Omar?” Tiba tiba seorang doktor melayu yang baru keluar dari wad ICU bertanya. “Saya”. Keempat empat isteri Tuan Zaidi menjawab secara serentak. “Saya perlukan hanya seorang waris sahaja untuk menandatangani surat kebenaran pembedahan ini.” Kata doktor itu lagi.



Masing masing tercengang dan saling berpandangan antara satu sama lain, apabila doktor menerangkan yang Tuan Zaidi perlu dibedah dengan segera kerana dia mengalami barah paru paru yang amat serius sekali. Memandangkan Fatimah, isteri yang pertama jadi dialah yang lebih berhak untuk menandatangani surat kebenaran tersebut.



Penantian itu suatu penyiksaan buat keempat empat isteri Tuan Zaidi dan juga Pak Mat. Fatimah berdoa didalam hatinya,”Ya Allah, Kau selamatkanlah suamiku ini. Kau sembuhkanlah penyakitnya itu. Aku pohon padamu dengan sepenuh hatiku. Kau tolonglah aku Ya Allah.” Sehingga pukul 9.00 malam masih belum mendapat apa apa berita dari bilik pembedahan.



Tiba tiba,”Puan puan semua, saya mohon maaf bagi pihak hospital. Kami sudah berusaha semampu kami tapi nampaknya penyakit suami puan sudah terlalu serius. Jadi saya sarankan supaya puan puan semua bawalah dia pulang sahaja.”



Mendengar kata kata doktor itu, mereka semuanya menangis hiba…..



Selang beberapa bulan kemudianTuan Zaidi merasakan yang dia akan menemui ajalnya dalam jangkamasa yang terdekat. Dia pun mula memikirkan tentang segala kemewahan hidupnya selama ini dan mula berfikir, "Sekarang aku ada 4 isteri, tapi bila aku mati nanti aku akan tinggal keseorangan. Alangkah sunyinya aku nanti!"



Dia pun memanggil keempat empat isterinya satu persatu. Mula mula dipanggil isterinya yang keempat. "Abang sayangkan Anna melebihi daripada isteri isteri Abang yang yang lain. Abang beri Anna pakaian yang istimewa dan paling berharga, serta berbagai bagai kemewahan yang lain. Sekarang Abang dah terlantar sakit dan akan mati tak lama lagi, hanya satu yang Abang nak Tanya. Adakah Anna akan ikut sama untuk menemani Abang?"



"Tak mungkin. Abang dah mati dan Anna masih lagi hidup. Mana ada orang yang masih hidup ikut masuk dalam kubur sama sama dengan orang yang dah mati.” Lancang sekali isteri keempatnya itu menjawab, kemudian terus beredar meninggalkannya tanpa berkata-kata lagi. Jawapan yang di terimanya itu sungguh menyayat hatinya, bagaikan pisau telah menghiris jantung hatinya.



Kemudian dipanggilnya pula isterinya yang ketiga, "Abang dah curahkan segala kasih sayang Abang pada Maria sepanjang hayat Abang. Dan sekarang Abang sedang sakit menunggu maut saja, sudi tak Maria ikut bersama Abang kedalam kubur untuk temankan Abang?"



"Abang ni dah gila agaknya!" jawab isteri ketiganya dengan tegas bercampur marah. "Hidup ini lebih baik di sini. Didalam dunia ni. Bukannya dalam kubur! Maria akan berkahwin lagi setelah Abang mati." Hancur lebur perasaan Tuan Zaidi bila mendengar jawapan tersebut.



Tuan Zaidi tidak berputus asa lantas terus memanggil isteri keduanya pula seraya berkata, "Abang selalu mengadu hal kepada Ifah dan minta bantuan Ifah bila Abang ada masalah, dan Ifah pula selalu menolong Abang bila Abang dalam kesusahan. Untuk kali terakhirnya Abang masih perlukan bantuanmu lagi, Ifah.” “Apa dia, cakaplah bang?” Ifah bertanya lembut. Dalam hatinya merasa amat belas sekali melihat penderitaan suaminya yang tersayang itu. “Bila Abang dah mati nanti, boleh tak Ifah ikut bersama Abang kedalam kubur. Boleh Ifah temankan Abang. Taklah kesunyian Abang nanti.”



Mendengar permintaan suaminya itu yang dianggapnya tak masuk akal, Latifah segera menjawab." “Maafkan Ifah bang, kalau selama ini Ifah tidak pernah kecewakan Abang tapi kali ini tidak mungkin Ifah dapat menolong Abang lagi kerana kita hidup sudah berbeza alam. Abang berada dialam kubur dan Ifah pula masih lagi hidup didunia ini. "Paling jauh pun, Ifah Cuma boleh temankan Abang setakat menghantar Abang ke kubur sahaja". Jawapan isteri keduanya itu, datang seperti halilintar yang membelah langit dan Tuan Zaidi merasa sungguh kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh ketiga tiga isternya itu.



Dalam kesedihan dan kekecewaannya terhadap jawapan yang diberikan oleh ketiga tiga isterinya itu, dengan tiba-tiba satu suara memanggilnya dan berkata, "Imah akan tinggal bersama Abang. Imah akan ikut kemana saja Abang akan pergi untuk menemani Abang selamanya." Fatimah, isterinya yang pertama itu menyatakan kesanggupannya dengan linangan airmata.



Tuan Zaidi mendongak keatas, dan dilihatnya isteri pertamanya berada di situ. Dia kelihatan amatlah kurus kering, seolah-olah telah lama kebuluran tak makan.



Dengan perasaan yang amat sedih dan kesal sekali, Tuan Zaidi pun berkata, "Kesian Abang tengok Imah. Abang sepatutnya mengambil berat terhadap Imah sewaktu Abang masih sihat dulu! Abang lebih pentingkan isteri isteri Abang yang lain yang langsung tidak berguna lagi ketika Abang sakit ni. Sekarang Abang rasa sudah terlambat Imah…. Sudah terlambat….Abang menyesal !menyesal……..,” luah Tuan Zaidi dengan kuat sekali. Penyesalannya sudah tidak berguna lagi saat itu.



Tiba tiba kata kata itu terhenti….. Tuan Zaidi sudah kembali kerahmatullah dengan perasaan kecewa. Fatimah melaung dengan sekuat hatinya,”Abang, Abang....... maafkan Imah bang, maafkan Imah...Imah tak sempat untuk menjaga Abang disaat saat akhir hidup Abang. Fatimah terus menangis dengan hibanya. Dia begitu kecewa sekali dengan sikap madu madunya yang lain itu. Tidak berperikemanusiaan langsung. Pak Mat yang sejak tadi berdiri disisi Tuan Zaidi turut sama menangis mengenangkan nasib masa depan Tuan Zaidi……



Sejak kematian suami mereka ketiga tiga isteri Tuan Zaidi merasa bebas dari sebarang ikatan. Setelah harta peninggalan Arwah Tuan Zaidi dibahagi bahagikan menurut hukum faraid, isterinya yang kedua, Maria pun berkahwin lain. Manakala Suzanna dan Latifah pula kembali kepangkuan keluarga masing masing.




Tinggallah Fatimah seorang diri di rumah banglo dua tingkat itu bertemankan Pak Mat, drivernya. Fatimah selalu sahaja bersedih sehingga makan, pakainya pun sudah tidak terurus lagi.




Akibat terlalu rindu dan sedih mengenangkan arwah suaminya, akhirnya Fatimah pun meninggal dunia......
posted by Mhyron Thapshec at 04.00

0 Comments:

Posting Komentar

<< Home